NASIONAL

Polis teliti cctv kondo simpan beg ‘Birkin’ Rosmah

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 13 MEI: Polis sedang menjalankan siasatan rapi dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebuah kondominium yang dipercayai menyimpan beg berjenama mewah dipercayai milik isteri bekas Perdana Menteri.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya sedang menyiasat secara terperinci dakwaan itu selepas menerima laporan daripada Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tengah hari, semalam.

Bagaimanapun pihaknya menafikan laporan beberapa portal berita yang mendakwa pasukan polis sudahpun menyerbu apartmen mewah di Jalan Raja Chulan, petang semalam.

“Pihak polis telah ke lokasi kejadian dan bukannya melakukan serbuan,” katanya dipetik laporan Bernama.

Mazlan berkata pihaknya juga telah merakam keterangan beberapa anggota polis bantuan di apartmen itu bagi membantu siasatan mengenai dakwaan terdapat maklumat dan rakaman video menunjukkan kira-kira 50 tas tangan Birkin dipindahkan daripada sebuah van ke beberapa unit apartmen itu.

Terdahulu, Pemuda PPBM mengutuk cubaan menyembunyikan beg tangan berjenama milik isteri bekas pemimpin negara.

Exco Pemuda PPBM Nasional, Ben Ali berkata, pihaknya menerima maklumat dan rakaman video menunjukkan lebih 50 beg tangan jenama ‘Birkin’ sedang dipindahkan secara rahsia daripada sebuah van milik Jabatan Perdana Menteri (JPM) ke kondominium di Kuala Lumpur.

Katanya, dipercayai setiap satu beg berkenaan dianggarkan bernilai RM200,000.


Pengarang :