AGAMASELANGOR

Promosi buffet Ramadan hanya untuk pemegang sijil halal

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 27 MEI: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menegaskan hanya hotel yang memiliki sijil halal dibenar mempromosikan buffet makanan berkaitan Ramadan disepanjang bulan puasa ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIS, Wan Najmiah Wan Mohd Ali berkata, sehingga kini sebanyak 46 hotel di negeri ini mempunyai sijil halal.

“Hanya pemegang sijil sahaja boleh menggunakan perkataan Buffet Ramadan, Iftar Ramadan, sahur atau promosi berbuka puasa.

“Manakala bagi yang tidak memiliki sijil halal, mereka dilarang sama sekali membuat promosi yang membawa maksud Ramadan,” katanya ketika Majlis berbuka puasa JAIS bersama media di Pusat Konvensyen Sha Alam (SACC), baru-baru ini.

Wan Najmiah berkata, antara beberapa hotel di Shah Alam yang dibenar membuat promosi buffet Ramadan adalah Hotel Concorde, Hotel Grand Bluewave, Hotel Holiday Inn Glenmarie, Hotel Alami Garden, Hotel Accapella Suite, Hotel De Palma (Shah Alam), Carlton Holiday Hotel and Suites, Laman Green The Boutique Hotel dan Hotel Geno.

“JAIS kini dalam proses memantau 30 hotel yang disyaki tidak mempunyai sijil halal tetapi menawarkan pakej bufet sepanjang Ramadan ini.

“Bagaimanapun, setakat ini, tiada tindakan diambil terhadap hotel yang tidak ada pensijilan halal tetapi menasihati pengurusan hotel supaya memohon sijil berkenaan.

“Namun pengurusan hotel yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Perintah 4 (1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Pada masa sama, JAIS turut menasihatkan umat Islam supaya membuat pemeriksaan memilih restoran yang memiliki sijil halal yang sah bagi menjamin kebersihan dan keselamatan makanannya.

=EZY=


Pengarang :