SELANGOR

Proses pembuangan undi panas, pengundi luah rasa bengang

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 9 MEI: Proses pembuangan undi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan (P) Taman Petaling dikejutkan dengan insiden keengganan Ketua Tempat Mengundi (KTM) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberikan Borang 10 dan kekeliruan label peti undi.

Seorang pengundi yang hanya ingin dikenali sebagai Tan kesal apabila beliau hanya diberikan Borang 10 selepas diminta ketika ingin membantu ibunya membuang undi.

“Saya kecewa dengan layanan pegawai SPR di sini. Sepatutnya mereka memudahkan urusan pembuangan undi kerana penglihatan ibu saya kabur dan terpaksa ditolak menggunakan kerusi roda.

“Mereka mempersoalkan mengapa saya meminta Borang 10 sedangkan saya mahu membantu ibu saya mengundi dan enggan memberikan kerjasama. Selepas didesak akhirnya mereka memberikannya,” katanya kepada Selangor Kini.

Borang 10 merupakan kebenaran untuk waris atau ahli keluarga membantu warga emas atau orang kelainan upaya (OKU) memangkah kertas undi.

Selain itu, beberapa pengundi turut meluahkan kekeliruan terhadap warna label dan warna kertas undi pada kotak pembuangan undi di beberapa saluran.

Berdasarkan beberapa keping foto yang dikirimkan, label di peti pembuangan undi menggunakan kertas berwarna oren tetapi terdapat kertas undi berwarna krim cerah.

Menurut pengundi, pegawai bertugas hanya membetulkan label Parlimen kepada Negeri di peti pembuangan undi selepas mereka memaklumkan perkara itu.

=EZY=


Pengarang :