BERITA UTAMASELANGOR

PRU-14: Perutusan Dato’ Menteri Besar untuk Selangor dan seluruh negara

Saudara-saudaraku rakyat Malaysia

Esok, setelah fajar menyingsing, saudara sekalian akan membuat penentuan. Kuasa di tangan anda. Pena di tangan anda akan menentukan masa depan negara dan generasi akan datang.

Anda akan menentukan sama ada Malaysia akan terus dijajah oleh kleptokrat, atau Malaysia yang dipimpin oleh pemimpin berintegriti yang akan mengembalikan maruah negara dan membina sebuah bangsa yang berwibawa.

Apakah kita mahu sebuah kerajaan yang dipimpin oleh manusia yang bergelumang dengan rasuah dan mahu mengekalkan kuasa dengan apa cara sekali pun?

Apakah kita mahu sebuah kerajaan yang dipimpin oleh orang yang memunggah khazanah negara dan menyorok wang rakyat dalam akaun peribadi?

Tidakkah kita berhak mendapat pemimpin yang jujur, berintegriti dan peduli rakyat?

Tidakkah kita mahu sebuah kerajaan, yang setelah mendapat mandat rakyat, terbukti telah memerintah dengan telus dan penuh bertanggungjawab?

Tidakkah kita berhak mendapat sebuah kerajaan yang peduli rakyat, berbelanja dengan bijaksana untuk generasi akan datang, melaksanakan pembangunan bertanggungjawab untuk meningkatkan daya saing negara?

Sudah barang tentu kita mahukan sebuah kerajaan yang mencipta nilai untuk
ekonomi dan menjana pertumbuhan ekonomi dan membangun infrastruktur yang mencipta kemakmuran untuk rakyat.

Kita tidak mahu kerajaan yang menjanjikan kekayaan untuk rakyat dengan memiskinkan mereka melalui hutang 1MDB dan melupuskan nilai aset negara seperti FELDA dan menggadai kedaulatan negara.

Apakah kita mahu terus memikul beban GST yang dipaksakan oleh UMNO-BN
semata-mata agar pemimpin yang korup menikmati kemewahan di atas kesusahan rakyat?

Sudah pasti tidak. Sebaliknya, kami berjanji akan menghapuskan GST, cukai yang menghisap darah rakyat. Kita akan memerdekakan rakyat daripada belenggu ini.

Dalam sejarah bangsa, belum pernah kita berdepan dengan pilihan yang begitu jelas. Selama 60 tahun kita dibelenggu oleh UMNO-BN. Sejak 10 tahun yang lalu, cengkaman kuasa mereka sudah sampai pada kemuncaknya.

Aset utama negara, iaitu rakyat, mempunyai potensi yang sangat besar.

Berpendidikan, berkemahiran, pintar, rajin, bertimbang rasa dan toleran serta amat bersangka baik.

UMNO-BN cuba menakutkan rakyat bahawa perubahan akan membawa musibah, membawa kemusnahan hubungan antara kaum dan agama.

Selangor membuktikan semua tohmahan ini adalah palsu. Perubahan membawa kebaikan kepada rakyat keseluruhannya. Selangor membuktikan rakyat terus hidup dalam rukun dan damai. Impaknya, seluruh negeri terus makmur dan terus menarik pelaburan dan pertumbuhan ekonomi.

Sejak 2008, penghayatan agama Islam bertambah subur menerusi usaha pengimarahan masjid. Semangat dan roh Islam dijunjung dan dilaksana, bukan sekadar slogan dan laungan.

Semua program dan bantuan yang dilaksanakan di Selangor adalah bertepatan dengan seruan Allah SWT di dalam Al-Quran – fastabiqul khairat.

Ini bermakna kita berlumba-lumba mengamalkan dan melaksanakan kebaikan untuk umat dan rakyat. Inilah dasar dan falsafah Pakatan Harapan.

Jangan takut dengan perubahan.

Pakatan Harapan berazam untuk memperjuangkan hak semua rakyat tanpa mengira kaum.

Pada masa yang sama, kita memberi jaminan kepada semua kaum pribumi – khususnya orang Melayu, bahawa selagi mana hayat dikandung badan, segala aspirasi dan hak mereka akan terus dipelihara.

Saya dan pimpinan lain tidak akan membenarkan sesiapa sahaja, samada dari dalam atau luar, untuk menggugat teras agama, bangsa dan tanah air kita.

Apa yang telah tercapai di Selangor membuktikan keperluan dan layanan adil dapat diberikan pada semua. Pada masa yang sama, hak dan kepentingan masyarakat Melayu Islam terus terpelihara.

Di Selangor, kita telah menunjukkan contoh yang jelas bahawa kita boleh
memerintah dengan lebih baik, efisien, berkesan, bersih dan bertanggungjawab.

Kita terus mengekalkan Selangor sebagai gedung kuasa ekonomi negara dengan pertumbuhan tinggi, kadar guna tenaga yang tinggi sementara pada ketika yang sama mempastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.

Ini adalah pilihan antara untuk maju ke hadapan dengan mundur ke belakang. Pilihan antara kerajaan yang membawa harapan baru dan yang peduli rakyat dengan kerajaan yang dibelenggu oleh rasuah.

Ia adalah pilihan antara demokrasi berpelembagaan, pemerintahan mengikut
undang undang dan keadilan dengan pemerintahan kleptokrasi, nafsu manusia dan kezaliman.

Maka, saya menyeru kepada semua untuk mengundi calon-calon Pakatan Harapan.

Undilah dengan penuh keyakinan dan jiwa yang murni. Undilah untuk membuat perubahan di peringkat persekutuan.

Undilah KEADILAN.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI
Dato’ Menteri Besar Selangor
8 Mei 2018


Pengarang :