Selangorkini
NASIONAL

PRU14: Kemenangan rakyat, ayuh bersama bina semula negara

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 MEI: Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah kemenangan rakyat, demikian tegas Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Katanya, rakyat Malaysia telah lama mengimpikan negara ditadbir dengan amanah dan telus, malah perjuangan reformasi yang telah mencecah lebih 20 tahun telah sampai pada kemuncaknya.

“Aspirasi rakyat perlu diambil peduli dan Pakatan Harapan (PAKATAN) perlu pastikan bahawa setiap tindakan wajib berteraskan kehendak rakyat.

“PAKATAN perlu mengambil iktibar kisah Barisan Nasional (BN) telah memperdagangkan mandat diberi rakyat.

“Dalam keterujaan kita menyambut kemenangan ini, adalah penting untuk kita saling mengingat antara satu sama lain bahawa tanggungjawab yang besar sedang menanti, katanya kepada SelangorKini.

Justeru, Ketua Wanita Pakatan Harapan itu menyeru rakyat bersama-sama membantu kerajaan yang baru dalam memastikan segala misi, pelan dan agenda dirancang dapat dilaksanakan dengan efektif.

Katanya, usaha memartabatkan wanita juga akan terus diperhebat setelah ia tidak dibela lebih 60 tahun dibawah pemerintahan BN.

“Marilah kita membina Malaysia yang lebih baik, demi masa hadapan generasi akan datang, PAKATAN akan pastikan tiada rakyat Malaysia terpinggir dalam pembangunan yang dilaksanakan.

“Perjalanan yang harus kita tempuhi masih jauh, apa yang diharapkan kini adalah penyatupaduan kesemua rakyat negara ini agar martabat dan maruah Malaysia dapat dikembalikan semula,” katanya.


Pengarang :