SELANGOR

‘Rahmatan Lil Alamin’ bawa kebaikan kepada semua

OLEH HAFIZAN TAIB

BATU CAVES, 7 MEI: Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) menjaga kebajikan rakyat, di Selangor kerana ia ditadbir penuh kebertanggungjawaban melalui konsep ‘Rahmatan Lil Alamin’.

Isteri kepada Dato’ Menteri Besar, Datin Seri Shamshida Taharin berkata, pembaharuan itu menjadi contoh sebagai negeri berkebajikan dan rakyat seharusnya terus memberi sokongan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“PAKATAN melaksanakan pentadbiran tidak turun pada saat menjelang PRU kerana di bawah kepimpinan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dijaya berlandaskan ‘Rahmatan Lil Alamin’.

“Ia bermakna Islam bukan hanya mementingkan orang Islam sahaja tetapi kaum lain,” katanya pada program Masak Bubur Lambuk Perdana, di Taman Jasa Utama di sini, semalam.

Katanya, kejayaan PAKATAN mentadbir Selangor menjadi model untuk ditawarkan kepada rakyat yang akan menilainya, demi masa depan mereka.

Shamshida berkata, IPR dilaksanakan Kerajaan Negeri dengan lebih 40 program jelas membawa banyak kebaikan kepada rakyat.

“Pada 9 Mei ini, (hari mengundi) rakyat diminta beramai-ramai menyatakan sokongan kepada PAKATAN kerana PRU ini bagi menentukan masa depan anak cucu kita,” katanya.

Turut hadir calon DUN Sungai Tua, Amirudin Shari, yang akan mempertahankan kerusi berkenaan dalam PRU14.


Pengarang :