SELANGOR

Rakyat tidak terpengaruh dakyah lapuk BN

OLEH HAFIZAN TAIB

BATU CAVES, 4 MEI: Masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua diyakini tidak terpengaruh dengan dakyah Barisan Nasional (BN) bahawa orang Melayu akan hilang keistimewaan jika Pakatan Harapan (PAKATAN) diberi mandat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia adalah strategi lapuk dipraktikkan BN bagi menakutkan orang Melayu demi meraih simpati kerana parti itu kini dalam keadaan terdesak mengekalkan kuasa.

“Kini BN meminta rakyat menolak (PAKATAN) dengan dakwaan jika diberikan mandat, maka orang Melayu akan hilang keistimewaan juga di dunia ini.

“Ini propaganda lama yang dikitar semula untuk menakutkan rakyat khususnya orang Melayu kerana BN sedia maklum orang bukan Melayu sudah tidak berpihak kepadanya.

“Saya kira orang di Batu Caves faham kerana kita sudah 10 tahun mentadbir Kerajaan Negeri dengan keadaan orang Melayu dan Islam, termasuk yang lain lebih baik berbanding 50 tahun di bawah BN,” katanya dalam program Sarapan Pagi bersama rakyat di Kampung Melayu Wira Damai, di sini, hari ini.

Timbalan Presiden KEADILAN itu berkata, kepimpinan PAKATAN sendiri diketuai pemimpin Melayu iaitu Pengerusi, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Maka, katanya, segala dakwaan dilemparkan BN tidak benar dan harus ditolak rakyat.

“Namun sebagai pemimpin Melayu dan Islam, kita bukan hanya mahu menjaga orang Melayu tetapi menjaga semua bangsa demi perpaduan juga kepentingan bersama,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat di DUN Sungai Tua juga diminta terus memberikan sokongan kepada calon DUN Sungai Tua, Amirudin Shari kerana menunjukkan prestasi baik sebagai wakil rakyat juga Exco Kerajaan Negeri.


Pengarang :