SELANGOR

Reformasi Sungai Tua, Amirudin optimis tingkat fasiliti awam

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 1 MEI: Kejayaan dua penggal pentadbiran Amirudin Shari di kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Tua (dulunya Batu Caves) tidak menghentikan iltizam Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) N16. Sungai Tua itu untuk mencipta lebih banyak perubahan di kawasan itu.

Beliau optimis, jaringan fasiliti awam dan kemudahan infrastruktur di kawasan itu akan diperluas secara konsisten bagi menambah baik keperluan pembangunan sedia ada.

“Ada beberapa perkara yang kita komited untuk selesaikan. Kalau tempoh terdahulu, sasaran kita lebih tertumpu kepada masalah banjir, milikan tanah, pembaikan jalan dan sebagainya.

“Sekarang sudah sampai masanya untuk kita memperbesarkan kemudahan awam di sini, terutamanya pembinaan lebih banyak lagi dewan-dewan komuniti yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

“Tidak ketinggalan saya juga ingin menambah baik fasiliti padang awam di kampung Sungai Tua memandangkan wujudnya perubahan yang signifikan terhadap aspek pembangunan di kawasan ini,” katanya.

Beliau bercakap kepada SelangorKini selepas meneruskan aktiviti turun padang mendekati masyarakat di kawasan perumahan Taman Amaniah dan Taman Selayang, semalam.

Tinjauan SelangorKini di kawasan berkenaan mendapati, terdapat banyak perubahan kualiti fasiliti penduduk di kawasan itu

Antaranya, kemudahan dewan serbaguna, padang awam, akses jaringan perkhidmatan Bas Smart Selangor dan sistem saliran perparitan yang ditambah baik.

=EZY=


Pengarang :