SELANGOR

RMS gembira pembangunan bola sepak rancak

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 13 MEI: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyambut baik inisiatif Football Selangor dalam merancakkan lagi agenda pembangunan sukan bola sepak di negeri itu.

Perkara itu disampaikan Pengurus Kanan, Selangor Youth Community, Dr Johan Kamal Hamidon, menerusi lawatan baginda ke penganjuran Selangor Grassroots League 2018 (SFL2018), di Stadium Mini Shah Alam, semalam.

“SGL 2018 adalah sebuah kejohanan bola sepak di bawah kelolaan Football Selangor yang diilhamkan Raja Muda.

“Ia bertujuan mencungkil bakat dalam kalangan pemain bola sepak, dan juga memberi peluang kepada anak-anak Selangor mewakili kelab dan pasukan sekolah masing-masing.

“Kami dimaklumkan, Raja Muda berasa sangat gembira kerana program pembangunan bola sepak akar umbi ini mendapat sambutan dan sokongan daripada semua pihak,” katanya.

SFL2018 menyaksikan penyertaan 255 pasukan sukan bola sepak tempatan dalam usaha mencungkil bakat muda untuk diketengahkan dalam sukan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, SFL2018 turut menyaksikan penampilan khas bekas jurulatih serta pemain kebangsaan, Datuk K Rajagobal dan Safee Sali.

Selain itu, Pasukan PKNS FC, turut mengadakan sesi pemantauan khas bagi mengenalpasti prestasi-prestasi pemain yang berpotensi untuk diketengahkan.

“Football Selangor dan SAY sangat yakin kejohanan ini mencapai objektif pelaksanaannya,” kata Dr Johan.


Pengarang :