SELANGOR

SACC rai anak yatim, bantu gelandangan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 23 MEI: Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) menganjurkan majlis berbuka puasa meraikan 20  anak yatim dari Pusat Jagaan Cahaya Kasih Bestari, di Dewan Plenary, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Operasi SACC, Nasrudin Abu Bakar berkata, penganjuran yang memasuki tahun kelapan itu adalah salah satu daripada program tanggungjawab Sosial Koporat (CSR) SACC.

“Ia juga dilaksanakan sebagai peluang SACC bersama warga kerja menambah amalan serta memberi keinsafan kepada diri.

“Saya berasa gembira dapat mengumpulkan warga kerja dan ahli keluarga SACC dalam majlis berbuka puasa kali ini bagi mendidik kita untuk bersyukur, hidup bersederhana dan mengelak pembaziran saat berbuka puasa.

“Hal ini juga memberi peringatan untuk kita seimbangkan keperluan dalam kehidupan di dunia dan akhirat kelak,” katanya.

Terdahulu, Pusat Jagaan Cahaya Kasih Bestari dibuka seawal Januari 2010, kini menempatkan lebih 70 anak yatim kurang bernasib baik dari pelbagai latar belakang.

Pada majlis sama, SACC turut menghulurkan sumbangan kepada anak yatim bagi menyambut Syawal tidak lama lagi.

“SACC turut memberi sumbangan duit raya dan hadiah kepada semua anak yatim yang hadir.

“Sumbangan ini juga turut ditaja bersama ADABI Consumer Industri Sdn. Bhd dengan tujuan dapat memberi kegembiraan dan membantu anak-anak ini membuat persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, SACC turut meneruskan tawaran 100 hidangan resepi turun temurun Bufet Ramadan yang bertemakan Warisan Tradisi sejak 18 Mei hingga 13 Jun ini.

SACC turut berkolaborasi dengan Kelab Dapur Jalanan Kuala Lumpur yang berteraskan konsep ‘Berbuka Sambil Beramal’ bagi membantu dan mengumpul dana Tabung Kebajikan Gelandangan.

Menerusinya, RM1.00 untuk setiap pembelian bufet akan disalurkan kepada tabung tersebut.


Pengarang :