BERITA UTAMANASIONAL

Salah pangkah, Malaysia bakal muflis

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PERAK, 4 MEI: Rakyat disaran memilih calon Pakatan Harapan (PAKATAN), pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana kredibiliti pimpinan gabungan itu untuk membawa perubahan Malaysia lebih baik.

Naib Presiden PAKATAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, usaha mengekalkan pentadbiran Barisan Nasional di Putrajaya hanya akan mendorong kepada kejatuhan ekonomi yang lebih parah.

Lebih membimbangkan katanya, negara boleh berada dalam keadaan muflis, jika rakyat tidak berani mecipta perubahan baru pentadbiran negara.

“Jika rakyat tersilap memilih pada 9 Mei ini, saya bimbang Malaysia akan terjerumus dalam satu keadaan bankrap, muflis dan meletakkan rakyat dalam keadaan cukup terkesan.

“Ini kerana di bawah pentadbiran Putrajaya, Malaysia menanggung hutang yang sangat tinggi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika ditanya oleh saya di Parlimen, langsung tidak menjawab persoalan ini.

“Mengapa kerajaan kini terpaksa menanggung kadar faedah hutang yang sangat tinggi sekitar RM31 bilion? Itu baru faedah, jadi rakyat boleh fikirkan berapa banyak sebenarnya hutang yang terpaksa ditanggung Kerajaan Persekutuan kini? Mungkin jumlahnya lebih besar,” katanya.

Justeru, Mohamed Azmin berkata, rakyat seharusnya tampil melakukan perubahan dengan memberikan peluang terbaik kepada gabungan PAKATAN untuk menerajui kepimpinan, di Putrajaya.

Katanya, kejayaan itu sudah dibuktikan menerusi dua negeri ditadbir PAKATAN, iaitu Selangor dan Pulau Pinang yang terus maju dengan kepentingan setiap kaum diangkat.

“Jika Selangor dan Pulau Pinang boleh, kenapa tidak di Putrajaya?” soal Dato’ Menteri Besar Selangor itu.

Terdahulu, Mohamed Azmin berucap pada Program Minum Petang bersama Masyarakat di Alor Pongsu, Bagan Serai, Perak.

Program turun padang itu dilaksanakan sebagai inisiatif mendekati masyarakat luar Selangor dalam usaha menawan negeri pentadbiran BN, pada PRU14.


Pengarang :