NASIONAL

Saya bebas tanpa syarat – Anwar

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Pembebasan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuat, tanpa syarat daripada pihak Istana Negara.

Kata Anwar, keputusan itu mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong (YDPA), Sultan Muhammad V menerusi hasil permohonan dan perbincangan bersama kepimpinan Kerajaan Pakatan Harapan.

Berkongsi detik pembebasannya, bekas Ketua Pembangkang itu menzahirkan penghargaan di atas perkenan Seri Paduka Agong itu.

“Akhirnya derita ini berakhir dan membolehkan saya mengecap udara bebas.

“Saya sebaik diberitahu untuk memohon mengadap menemui tuanku YDPA, saya sampaikan penghargaan terima kasih kepada Tuanku kerana mengambil keputusan segera tanpa sebarang syarat.

“Kita bersama (mengadap) Tuanku selama hampir satu jam dan tentulah saya cukup terkesan dengan keputusan ini.

“Untuk itu, saya boleh katakan dengan tagline jelas ; ‘dari penjara ke Istana'” katanya pada sidang media di kediamannya di Bukit Segambut.

Anwar berkata, pembebasan itu dibuat bukan berdasarkan kapasiti ‘disabitkan’ atas kesalahan dan pendakwaan politik sebelum ini.

Beliau menegaskan, permohonan dibuat berpandukan kepada dasar salah guna kuasa dan tekanan politik yang dibuat pentadbiran terdahulu.

“Ini disebut sebagai perjalanan yang bercanggah dengan prinsip keadilan, dan prinsip inilah yang diterima YDPA dalam membebaskan saya dan membersihkan saya dengan semua rekod kesalahan itu.

“Oleh itu, saya (akhirnya) dibersihkan dengan segala pertuduhan dan hukuman,” katanya.

Ini merupakan sidang media pertama Anwar Ibrahim selepas mendapat pembebasan daripada Sultan Muhammad V.

Hadir sama pada sidang media itu, pimpinan kanan KEADILAN, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Saifuddin Nasution dan Dr Xavier Jeyakumar.

Sebelumnya, Lembaga Pengampunan Diraja mengesahkan pembebasan Anwar yang dibuat tanpa sebarang syarat, di Hospital Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur tepat jam 11.30 pagi ini.

Sejurus pembebasannya, beliau dilapor ke Istana Negara, menghadap Seri Paduka Agong, bagi menzahirkan penghargaan Anwar ke atas pembebasannya.

=EZY=


Pengarang :