SELANGORSUKANKINI

SCL disokong, tingkat kualiti liga komuniti

OLEH HAFIZAN TAIB

BATU CAVES, 6 MEI: Kerajaan Negeri menyokong penganjuran Selangor Champions League (SCL) yang berjaya menghimpunkan kelab bola sepak dalam liga komuniti dan sosial di negeri itu.

Pengerusi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), Amirudin Shari berkata, SCL diilhamkan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, adalah inisiatif baik bagi kewujudan liga sedemikian rupa dengan kelab tersendiri.

“Ia sesuatu yang baik iaitu liga komuniti disertai banyak kelab yang diangkat martabatnya dan inisiatif Raja Muda Selangor memberi kesan positif dengan penyertaan kelab bola sepak yang mampu mendapat tajaan serta menghimpunkan penyokong mereka sendiri.

“Maka sebab itu, Kerajaan Negeri dan MSNS menyokong pembangunan SCL demi manfaat semua,” katanya selepas majlis pelancaran Akademik Bolasepak Merah Kuning (ABMK) di Padang Awam Kampung Baru Batu Caves, di sini, hari ini.

Exco Kerajaan Negeri itu berkata, SCL adalah salah satu kejohanan dengan tumpuan bagi melahirkan pemain bola sepak berkualiti di Selangor.

“Dengan adanya SCL, ABMK, program pembangunan bola sepak bawah 21 tahun dan yang lain termasuk pertandingan antaranya Piala Mokhtar Dahari dan Piala Raja Muda yang mana semuanya adalah usaha kita bagi tujuan sama,” katanya penyandang Dewan Undangan Negeri Sungai Tua itu.

=EZY=


Pengarang :