SELANGOR

Sekolah baru untuk anak-anak Paya Jaras

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 MEI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman optimis merealisasikan hasrat penduduk memiliki sebuah sekolah baru di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Komitmen itu dinyatakan sebagai asas agenda utama kejayaan Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN), di Putrajaya.

Untuk itu beliau memaklumkan, keperluan menyiapkan sekolah itu akan diusulkan ke Peringkat Persekutuan, dalam tempoh terdekat.

“Agenda pertama Putrajaya (meliputi) aspek pendidikan. Kita akan usulkan kepada Perdana Menteri, Kementerian Pendidikan, Jabatan Pembangunan Persekutuan (ICU) untuk menyiapkan segera Sekolah Kebangsaan di Saujana Utama,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi catatan yang dimuat naik di Facebook rasminya, semalam.

Dilaporkan, kepadatan jumlah pelajar di DUN itu tidak lagi mampu menampung kepadatan penambahan pelajar-pelajarnya.

Komitmen wakil rakyat itu, bagaimanapun mendapat maklum balas positif daripada pengguna media sosial.

Rata-rata, mereka menyambut baik usaha itu demi kelangsungan pendidikan anak-anak di Paya Jaras.

“Sokong YB (Yang Berhormat). Kami tak sabar atas segala pembaharuan dan perubahan itu agar membawa kepada yang lebih cemerlang,” tulis Zyreen Yusof.

“Tahniah. Moga dipermudahan segala urusan,” kata Mohd Rafiz.


Pengarang :