KENYATAAN MEDIA

Selamat bebas Anwar Ibrahim, sinar buat Malaysia

OLEH MUHAMMAD KHAIR SUJUD

Bismillahirrahmanirrahim

Segala puji bagi Allah SWT yang telah memuliakan manusia dengan hurriyyah (kebebasan).

Salam dan Selawat ke atas junjungan Baginda pembawa misi pembebasan dan Rahmatan lil Alamin.

1. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menzahirkan rasa kesyukuran atas pembebasan Dato’ Seri Anwar Ibrahim (Pak Anwar @DSAI), mantan Presiden PKPIM.

Ini kejayaan besar pasca 20 tahun hempas-pulas perjuangan Reformasi; keluar-masuk penjara, namun semangat tetap sekental rajawali.

2. Pembebasan ini juga menonjolkan komitmen kerajaan Pakatan Harapan yang menjadikan usaha pembebasan DSAI sebagai antara janji mereka.

Minggu lalu perkhabaran berita gembira buat Malaysia ialah kemenangan Pakatan Harapan dan minggu ini DSAI bebas, doakan inshallah minggu depan agenda Reformasi yang lebih rancak. Ini memerlukan komitmen bersama kerajaan Pakatan Harapan dan seluruh rakyat Malaysia.

3. PKPIM dan seluruh rakyat jelata merafak sembah penghargaan dan menjunjung kasih perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Muhammad V di atas pembebasan Bapa Reformasi ini.

Menurut DSAI, Raja-raja Melayu juga menzahirkan komitmen kepada perubahan Malaysia yang kearah yang lebih baik. Inshallah, dengan muafakat bersama instituti Raja Sultan, Tun Mahathir, Anwar Ibrahim dan rakyat seluruhnya Negara Kita akan makmur dan diberkati.

4. PKPIM juga menyatakan terima kasih kepada Tun Mahathir diatas segala usaha yang telah digerakkan bagi menjayakan pembebasan ini serta tenaga yang dicurahkan dalam urusan pentadbiran negara selama 7 hari sebagai Perdana Menteri di usia senja.

Kami sebagai Rakyat mengikuti rapat perkembangan pentadbiran Tun dan kami nyata berbahagia.

5. Semoga Allah memberkati usaha menegakkan keadilan ini dengan barakah dan nikmat seluas-luasnya buat Malaysia dan seluruh rakyatnya.

Jazakallahukhairan. Wassalamualaikum
Sekian, terima kasih

# Muhammad Khair Sujud adalah Presiden PKPIM


Pengarang :