SELANGOR

Selangor kaji semula pembelian beg plastik 20 sen

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEPANG, 25 MEI: Kerajaan Negeri berhasrat mengkaji semula langkah pengenaan cas 20 sen untuk pembelian beg plastik di pasaraya.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian berkata, ia berikutan langah itu tidak memberi impak positif terhadap Kempen Bebas Plastik dan Polistirena.

“Pada mereka, tidak mengapa bayar 20 sen sahaja, jika beli lima beg plastik, baru RM1, jadi orang ramai tetap membelinya namun ia dianggap mengecewakan kerana misi kepada kempen bebas plastik mungkin kurang berjaya.

“Disebabkan isu ini, saya akan membincangkan semula cara perlaksaan kempen ini dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pasar Ramadan Mampan di Kipmall Kota Warisan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) 2018, hadir sama Yang Dipertua (YDP) MPsepang, Datuk Puasa Md Taib.

Loy Sian berkata, pihaknya kecewa kerana ada pusat membeli-belah tidak memberi kerjasama dengan menjual beg plastik kepada pelanggan.

“Disebabkan itu kita sedang memikirkan langkah penggunaan beg kertas kitar semula yang mungkin lebih sesuai untuk mengantikan plastik.

“Buat masa ini kita sememangnya tidak ada undang-undang untuk mengenakan sebarang denda atau sebagainya, jadi fokus utama kali ini adalah semak semula kempen ini supaya ia sampai pada sasarannya,” katanya.

Bermula 1 Januari 2017, perniagaan di Selangor tidak dibenarkan untuk menyediakan beg plastik secara percuma dan diarahkan menghentikan penggunaan bekas makanan serta peralatan polistera di semua premis termasuk premis makanan serta pasar malam.

Kerajaan Negeri menggalakkan peniaga untuk menggunakan kutipan caj 20 sen bagi melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Susulan kempen itu dilaksanakan, Kerajaan Negeri dimaklumkan sebanyak RM7.199 juta dikutip bagi tempoh sehingga Februari 2018.


Pengarang :