SELANGOR

Selangor terus makmur walaupun kecualikan cukai RM300 juta

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 6 MEI: Langkah memberi pengecualian cukai taksiran untuk kediaman di kampung-kampung di Selangor memberi kesan kewangan dianggarkan RM300 juta.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, walaupun kehilangan pendapatan sebanyak RM300 juta tetapi Kerajaan Negeri bukan sahaja tidak muflis, malahan semakin makmur dan maju.

“Kerja kerajaan memang kutip cukai tetapi sejak saya diberikan amanah selama empat tahun saya turun kesemua sembilan daerah.

“Saya dapat rasai denyutan nadi rakyat yang merasakan kesusahan nelayan, peniaga, peneroka, petani, pemandu teksi dan pegawai kerajaan maka saya perkenalkan dasar baru iaitu semua pemilik rumah kampung dikecualikan cukai taksiran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Ceramah Umum Pakatan Harapan (PAKATAN) di Kampung Assam Jawa di sini, malam tadi.

Jelasnya, ini membuktikan Kerajaan Persekutuan tidak akan muflis sekiranya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dimansuhkan.

Katanya, sebaliknya Kerajaan Persekutuan muflis sekiranya pengurusan kewangan diuruskan secara tidak bertanggungjawab seperti amalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Kita lihat nanti sekirnya Pakatan Harapan menang nanti dalam tempoh 100 hari kita akan batalkan GST,” katanya.

=EZY=


Pengarang :