NASIONAL

Semua ibu bakal merasai KISS sekiranya PAKATAN mentadbir

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 3 MEI : Semua ibu di negara ini bakal merasai program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) sekiranya Pakatan Harapan (PAKATAN) diberi mandat mentadbir Putrajaya.

Penyandang kerusi N.43 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa, Dr Daroyah Alwi berkata, perkara itu tidak mustahil memandangkan sudah 43 program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dilaksanakan Kerajaan Negeri bertujuan meringankan beban rakyat.

“Kerajaan Negeri membelanjakan RM2.6 bilion bagi melaksanakan program IPR sejak 2008, namun sebaliknya terjadi kepada Kerajaan Persekutuan yang membelanjakan RM300 bilion setahun tetapi rakyat tetap terbeban.

“Jika sebelum ini, kita memberi KISS kepada golongan sasaran namun sekiranya PAKATAN berjaya mentadbir Putarajaya dan hanya dengan RM1 bilion peruntukkan membolehkan semua ibu di negara ini bakal merasai nikmat KISS,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan penduduk Taman Seri Wangi pada sesi Ceramah Kelompok di sini, malam semalam.

Daroyah yang juga selaku mantan Exco Kesihatan, Kebajikan, Wanita dan Keluarga berkata, Kerajaan Negeri berusaha sedaya upaya meringankan beban rakyat Selangor dan program berkenaan turut ingin diperluaskan di seluruh negara.

Terdahulu, KISS diperkenalkan melalui Belanjawan 2018 Selangor tahun lalu oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Melalui KISS, setiap ibu yang layak akan menerima bantuan RM2,400 setahun atau RM200 setiap bulan.

Program itu memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 golongan ibu, termasuk mendapat bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung serta pakaian sekolah untuk anak di pasaraya juga kedai runcit terpilih.

KISS dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri melibatkan peruntukan RM72 juta.


Pengarang :