NASIONAL

Sentimen Melayu tidak terhakis di bawah PAKATAN

OLEH AFIX REDZUAN

KELANA JAYA, 4 MEI: Semua pengundi khususnya Melayu tidak sepatutnya takut dengan propaganda bahawa kuasa dan keistimewaan kaum itu akan terhakis jika Barisan Nasional (BN) tidak lagi memerintah negara.

Peguam, Syahredzan Johan berkata, meminda sesuatu perkara dalam Perlembagaan Persekutuan bukan perkara mudah walaupun hanya satu titik kerana ia memerlukan majoriti dua per tiga dan perkenan Majlis Raja-Raja.

Katanya, kenyataan sedemikian yang sering disebarkan menerusi aplikasi Whatsapp dan laman sosial, terutama menjelang hari pembuangan undi hanyalah cubaan menakutkan orang Melayu mengundi Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Ini semua tipu belaka, kalau kita baca Perlembagaan Persekutuan amat jelas menyatakan untuk meminda walaupun satu titik memerlukan dua per tiga (majoriti) ahli parlimen, bukan sahaja Dewan Negara.

“Kalau kita tengok, kebiasaannya ahli parlimen Melayu adalah majoriti di Dewan Rakyat. Nak dapatkan sokongan dua per tiga pun susah dan jika ingin meminda, ia tetap memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Ceramah Kelompok N32 Seri Setia: Bicara Santai Ekonomi dan Undang-Undang, di SS7 Kelana Jaya, semalam.

Syahredzan berkata, PAKATAN dalam manifesto mereka sendiri sudah menyatakan pendirian untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, termasuk hal ehwal orang Melayu.

Dalam manifesto PAKATAN, menerusi Teras 2: Merefomasi Institusi Pentadbiran dan Politik, mereka menggariskan janji ke-11 untuk mengembalikan maruah orang Melayu dan institusi berkaitan.


Pengarang :