SELANGOR

Shuhaimi, Gana tekad laksanakan beri khidmat terbaik

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 MEI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Shuhaimi Shafiei nekad menjanjikan perkhidmatan terbaik untuk warga Sungai Kandis.

Beliau berkata, sebagai ADN di kawasan baru, mandat diberikan rakyat itu merupakan mandat yang besar.

“Saya bersyukur kerana berikan sekali lagi mandat bagi kawasan baru.

“Saya akan terus mencipta peluang-peluang baru membantu rakyat bagi memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara,” katanya.

Shuhaimi memenangi kerusi itu dengan majoriti sebanyak 12,490 undi daripada jumlah undian 23,998.

DUN Sungai Kandis (dulunya Sri Andalas) dimenangi oleh Xavier Jayakumar dengan undian sebanyak 20,258 (PRU12) dan 31,491 (PRU13).

Pada PRU13, jumlah pengundi di DUN itu sebanyak 56,763.

Sementara itu, V Ganabatirau menyifatkan kemenangan itu merupakan tsunami rakyat yang mahukan perubahan.

“Kita dapat melihat perubahan drastik dengan memenangi majoriti tinggi. Ini disebabkan rakyat sudah muak dan penat dengan beban kos sara hidup.

“Ini membuatkan rakyat berani melaksanakan perubahan,” katanya.

Ganabatirau menenangi kerusi itu dengan jumlah 38,106 undi.

Beliau yang merupakan bekas Exco Kerajaan Negeri memenangi dengan majoriti sebanyak 21,639 undi.


Pengarang :