NASIONAL

‘Sila Potong Di Sini’

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 2 MEI: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) menyindir tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setelah gambar Pengerusi PAKATAN, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipotong penguatkuasa.

Pengarah Strategi KEADILAN, Sim Tze Tzin melalui whatsappnya mengedarkan gambar yang memaparkan beliau bersama Tun Dr Mahathir dan juga Anwar.

Bezanya, terdapat perkataan ‘Sila Potong Di Sini’ di sekeliling gambar Tun Mahathir dan juga Anwar.

Tze Tzin dalam mesejnya berkata, beliau mengedarkan gambar tersebut bagi memudahkan kerja SPR untuk memotong gambar kedua-dua pemimpin PAKATAN berkenaan daripada calon PAKATAN yang bertanding.

“Saya berbesar hati sekiranya SPR hendak potong, potonglah jika mereka suka, sekarang lebih senang untuk potong” katanya.

Tze Tzin yang juga calon P52 Bayan Baru turut menerima kesan apabila papan iklan gergasi yang memaparkan gambarnya bersama Tun Mahathir dipotong semalam.

“Ini adalah tindakan yang keterlaluan dan tidak sepatutnya berlaku, SPR memotong gambar Mahathir di bahagian tengah sahaja dan sememangnya tidak wajar apabila bekas Perdana Menteri yang berkhidmat hampir 20 tahun diperlakukan sebegini.

“SPR sememangnya tidak munasabah, adakah Barisan Nasioanal (BN) begitu takutkan Tun Mahathir, kejadian ini bukan sahaja berlaku di Pulau Pinang, tetapi turut berlaku di Johor dan juga Negeri Sembilan,” katanya.

Selain Tze Tzin, calon P100 Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut memuatnaik gambarnya bersama Tun Mahathir di laman twitter.

Gambar Tun Mahathir tersebut turut dipaparkan perkataan ‘Sila Potong Di Sini’ sebagai tanda protes serta sindir kepada SPR.

=EZY=


Pengarang :