NASIONAL

Skandal ATM disiasat termasuk Scorpene

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mahu sebarang isu dan skandal yang dikaitkan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disiasat.

Katanya, ia akan disiasat secara mendalam sebelum sebarang tindakan diambil dan akan mendapatkan maklumat lanjut daripada semua pihak sebelum membuat perincian.

“Kita akan mendapatkan maklumat lanjut daripada semua cabang ATM termasuk isu pembelian kapal selam Scorpene serta isu dibangkitkan badan bukan kerajaan sebelum ini.

“Kita akan selidik, buat siasatan, kalau atas khabar angin maka akan berlaku kerosakan imej kepada seseorang atau jabatan itu.

“Kalau ada tindakan dengan bukti penyelidikan yang rapi melalui audit dalaman, penyelidikan dalaman dan kalau tak mampu kita guna audit luaran atau lebih serius kita bawa ke kabinet,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang medianya, di sini.

Terdahulu, beliau yang dikenali sebagai Mat Sabu memulakan tugas rasminya sebagai menteri hari ini dan disambut dengan tabik hormat kawalan kehormatan utama di Dataran Wisma Pertahanan di Jalan Padang Tembak, pagi tadi.

 


Pengarang :