SELANGOR

Skim Ceria untuk warga Lembah Jaya

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 5 MEI: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) N19, Lembah Jaya, Haniza Talha optimis memperluas keberkesanan Skim Ceria Kerajaan Selangor kepada masyarakat di kawasan itu.

Beliau berkata, permasalahan bangunan lama bakal diberi perhatian sekiranya diberi kepercayaan menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

“Ketika saya mula menjejakkan kaki ke kawasan ini, saya dapati permasalahan utama penduduk Lembah Jaya adalah terdapat banyak bangunan lama yang tidak dicat dan diselenggara dengan baik.

“Jadi menjadi komitmen saya untuk membantu menceriakan kawasan DUN ini dengan melaksanakan Skim Ceria iaitu satu skim yang dilancarkan Kerajaan Negeri untuk membaik pulih fasiliti bangunan lama.

“Perkara ini boleh direalisasikan sekiranya saya diberi kepercayaan memandangkan pengalaman saya sebelum ini membangunkan Taman Medan dengan cukup baik dan berkesan,” katanya.

Kerajaan Negeri melancarkan Skim Ceria bagi tujuan pembaikan baipulih kerosakan harta bersama pangsapuri rendah dan sederhana di Selangor.

Haniza berkata, skim berkenaan mampu menyelesaikan isu bangunan-bangunan lama yang memerlukan pembaikan dan tumpuan wakil rakyat setempat.

Dalam perkembangan lain, Haniza merupakan bekas Ahli Dewan Negeri Taman Medan yang giat melaksanakan agenda Reformasi di kawasan bandar itu, bagi tempoh 10 tahun.

Beliau juga pernah menjadi Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor Wanita pertama di Selangor.

Dilaporkan, perpindahannya ke DUN Lembah Jaya dibuat bagi mengukuhkan pembangunan setempat di kawasan bandar Ampang itu.

=EZY=


Pengarang :