SUKANKINI

Skuad AMD tunjuk taring di Jerman

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 25 MEI: Skuad Akademi Mokhtar Dahari (AMD) bawah 14 tahun (B-14) cemerlang dalam Kejohanan Whitsun Bawah 14 tahun (B-14) 2018 apabila muncul juara, di Dortmund, Jerman, baru-baru ini.

Pada aksi itu, skuad AMD dengan mudah menumpaskan wakil Denmark, FC Midtjylland 4-0 sekali gus mendominasi kejohanan yang turut disertai akademi bola sepak ternama dunia seperti Dortmund, Stuttgart, Bochum dan Ingolstadt.

Lebih manis, Mohd Nabil Qayyum Zainuddin dinobat sebagai pemain terbaik dan Zulhilmi Sharani cemerlang selaku penjaga gol dengan berjaya menamatkan kejohanan tanpa bolos sebarang gol.

Dalam aksi berkenaan, AMD tidak menunggu lama apabila mendahului seawal minit pertama hasil jaringan Muhammad Shahril Sobri sebelum sepakan sudut yang diperoleh AMD dimanfaatkan Daniel Edzuan Anuar sepenuhnya untuk menjadikan kedudukan 2-0 empat minit berselang.

Skuad negara terus memburu gol dan gerakan lincah Mohd Nabil berhasil memperdaya dua pertahanan FC Midtjylland sebelum melepaskan rembatan padu untuk gol ketiga pada minit ke-21.

Gawang FC Midtjylland terus dirobek apabila hantaran lintang dari sebelah sayap kanan disudahkan Mohd Khairil Mohd Zain untuk gol keempat negara pada minit ke-28.

Untuk rekod, AMD mengungguli saingan Kumpulan D menerusi pungutan 10 mata susulan meraih tiga kemenangan dan satu seri untuk meraih tiket ke suku akhir bertemu FC Koln yang ditundukkan 1-0 hasil jaringan tunggal Mohd Alif Izwan.


Pengarang :