NASIONAL

SPR benar undi dua kali?

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 4 MEI: KEADILAN mendakwa wujud percanggahan daerah mengundi bagi senarai daftar pengundi pos dan daftar pemilih awam yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi kawasan N33 Taman Medan di bawah Parlimen Petaling Jaya.

Calon P.105 Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah berkata, hasil semakan mendapati 17.1 peratus daripada pengundi pos, di Taman Medan disenaraikan di bawah daerah mengundi yang salah.

Katanya, percanggahan itu tertumpu pada satu bahagian dalam senarai berkenaan, iaitu petugas.

“Percanggahan ini membenarkan seseorang pengundi yang diiktiraf sebagai pengundi pos untuk kekal dalam daftar pemilih diwartakan.

“Justeru, ia membenarkan penama untuk mengundi kali kedua pada 9 Mei di daerah mengundi berbeza,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama (BGU) KEADILAN, di Taman Medan, hari ini.

Tiga DUN di bawah Parlimen Petaling Jaya mempunyai 1,235 pengundi pos dengan 509 daripadanya, di DUN Taman Medan.

Terdapat 87 percanggahan ditemui dengan 83 daripadanya membabitkan bahagian petugas.

Dalam contoh perbezaan dikemukakan, Umi Baizura Mohd Noh (105/33/10/009- Jln 7B) adalah salah satu nama dalam daftar pemilih pos.

Lokaliti Jln 7B sepatutnya berada dalam Daerah Mengundi (DM) Taman Dato Haron 2 mengikut semakan daftar pemilih biasa tetapi dalam daftar pemilih pos, beliau berada dalam DM 33/10 yang merujuk kepada Baiduri.

Maria berkata, SPR sepatutnya lebih telus dalam menjalankan pengundian pos dan kesilapan serius itu tidak boleh diterima, terutama apabila membabitkan ramai pengundi.

“SPR berusaha menyulitkan pengundi untuk mengundi dalam PRU kali ini.

“Ia turut menyulitkan pembangkang untuk menang secara adil dan bebas,” katanya.


Pengarang :