SELANGOR

SPR harus bertanggungjawab kecelaruan pembahagian saluran

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 9 MEI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu bertanggungjawab terhadap kelemahan pembahagian pengundi di saluran hingga menyebabkan mereka terpaksa menunggu lama untuk menjalankan tanggungjawab.

Calon Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa berkata, tinjauannya di beberapa pusat daerah mengundi di kawasan iru mendapati terdapat sesetengah saluran mempunyai hampir 800 pengundi, sedangkan saluran lain hanya kira-kira 300 pengundi.

“Nampaknya ada niat jahat untuk menghalang pengundi membuang undi. Saya dapat aduan di Seksyen 4 dan Seksyen 6 Kota Damansara ada pengundi tidak dapat mengundi.

“Saya tidak tahu berapa ramai kerana belum dapat maklumat terperinci tetapi jumlahnya bukan seorang dua, mungkin berpuluh atau mungkin juga ratusan pengundi terbabit,” katanya kepada SelangorKini di Pusat Daerah Mengundi Masjid Kampung Merbau Sempak, di sini, hari ini.

Katanya, beliau mendapat maklumat SPR mengurangkan jumlah saluran berbanding Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Sivarasa berkata, tambah menghairankan apabila walaupun SPR menyedari pertambahan jumlah pengundi berbanding PRU-13 tetapi mereka dengan sengaja mengurangkan jumlah saliran.

Sebelum ini, pengundi di Kampung Merbau Sempak terpaksa beratur lama untuk menunaikan tanggungjawab mengundi.


Pengarang :