SELANGOR

Suara rakyat tak sampai jika pilih ‘kaki kipas’

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 8 MEI: Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras diingatkan supaya tidak memilih calon ‘kaki kipas’, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Calonnya, Mohd Khairuddin Othman berkata, pemimpin yang mengamalkan kaedah itu tidak akan memperjuangkan suara rakyat, sebaliknya lebih berminat menjaga kepentingan masing-masing.

“Kalaulah kaki kipas, suara rakyat tak akan sampai ke atas tetapi saya berucap dalam Dewan Negeri Selangor (DNS) sehingga Dato’ Menteri Besar kata saya ini kadang-kadang bunyinya macam pembangkang, kadang-kadang macam kerajaan.

“Walaupun kita dalam kerajaan tetapi kita sedia perjuangkan suara rakyat Paya Jaras,” katanya pada program ceramah kelompok di Kampung Melayu Sungai Buloh, di sini, malam tadi.

Katanya, antara pembangunan yang berjaya diperolehi untuk masyarakat Paya Jaras adalah Stadium Mini Paya Jaras, laluan alternatif menghubungkan Kampung Seri Indah ke tol projek Lebuhraya Utara Selatan, pasar bertingkat, pembesaran Sungai Chemubong, Kampung Bahagia Bukit Lagong dan jalan alternatif Bandar Baru Sungai Buloh.

Katanya, sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negeri Paya Jaras bagi penggal 2013 hingga 2018, Kerajaan Negeri memperuntukkan kira-kira RM150 juta untuk pembangunan lebih 20 infrastruktur di kawasan memerlukan.

Pada masa sama, Mohd Khairuddin turut mengingatkan pengundi di Paya Jaras supaya tidak tersilap memilih calon yang hanya turun padang lima tahun sekali untuk meraih undi.


Pengarang :