NASIONAL

SUARAM sambut baik kenyataan Tun M isu salah guna kuasa terhadap tahanan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 19 MEI: Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berhubung isu penyalahgunaan kuasa dan penderaan termasuk kematian dalam tahanan.

Pengarah Eksekutifnya, Sevan Doraisamy berkata, ia adalah kenyataan progresif ditunggu masyarakat dan mangsa penderaan juga pihak berkaitan.

“SUARAM berharap ia tidak sekadar kenyataan media tetapi dapat dilaksanakan dan dipantau kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri dan kita bersedia bekerjasama bagi menangani masalah penderaan dan kematian dalam tahanan.

“Ini juga masa paling sesuai untuk kerajaan meratifikasikan Konvensyen Melawan Penderaan (UNCAT) termasuk Kovenan Antarabangsa Hak Sivil dan Politik (ICCPR),” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya menyeru supaya kerajaan membebaskan serta-merta semua tahanan bawah umur ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA).

Katanya, sekiranya polis mempunyai bukti kukuh bagi pendakwaan maka diminta melakukannya dengan menggunakan akta lain yang berkaitan selain pembatalan Alat Pemantauan Elektronik (EMD) dipasang ke atas tahanan muda.

“Mengikut laporan dibentangkan di Parlimen pada November tahun lalu, terdapat 142 tahanan bawah umur ditahan di bawah POCA dan 17 tahanan (SOSMA),” katanya.

SUARAN menyatakan demikian merujuk kenyataan Dr Mahathir, 16 Mei lalu, berkaitan tindakan tidak boleh dilakukan terhadap tahanan seperti mendera dan sebagainya serta memberi layanan baik terhadap golongan itu termasuk mengadakan inkues jika berlaku kematian.

=EZY=


Pengarang :