SELANGOR

Sultan perkenan 10 calon Exco Selangor, ada muka baru – MB

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 13 MEI: Senarai 10 calon Exco Kerajaan Selangor yang diberikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sudah mendapat perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, pemakluman itu diperkenan baginda menerusi pertemuan Mohamed Azmin dan Sultan Selangor, di Istana Alam Shah, pagi ini.

“Sultan Selangor menzahirkan rasa gembira Tuanku kerana rakyat Selangor kekal bersatu pada prinsip keadilan dan kebenaran.

“Justeru, dengan kemenangan ini, Tuanku telah berkenan dengan semua nama Exco yang dikemukakan saya kepada baginda.

“Oleh itu, Tuanku telah bertitah supaya Majlis Angkat Sumpah Exco Kerajaan Selangor diadakan Isnin ini, jam 2.30 petang,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran Kemenangan Rakyat Parlimen Gombak di Dataran Greenwood, petang ini.

Sementara itu, dalam sidang medianya, Mohamed Azmin berkata, senarai Exco yang dikemukakan termaktub dalam Undang-undang tubuh Kerajaan Negeri.

Katanya, ia berlandaskan ketetapan minimum empat Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dibentuk atau maksimum seramai 10 orang.

“Terdapat beberapa muka baharu yang akan mengisi jawatan Exco dan mempunyai kelayakan ditetapkan bagi meneruskan khidmat kepada rakyat.

“Pembentukan segera barisan Exco ini membolehkan kita meneruskan tanggungjawab Kerajaan Negeri yang lebih besar untuk pentadbiran dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

=EZY=


Pengarang :