BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor berkenan beri sumbangan kepada 410 asnaf

OLEH SHEEDA FATHIL

TANJUNG KARANG, 23 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat, di Masjid Al-Hidayah Kampung Sungai Terap, di sini.

Pada majlis itu, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri berjumlah RM205,000 kepada 410 penerima terdiri daripada asnaf fakir, miskin dan mualaf.

Daripada jumlah itu, RM108,000 diserahkan kepada 216 asnaf miskin, manakala RM22,000 diagihkan kepada 44 asnaf fakir.

Sementara RM75,000 diserahkan kepada 150 asnaf mualaf dengan masing-masing menerima sumbangan RM500 setiap seorang.

Selain itu, baginda turut berkenan merasmikan Masjid Al-Hidayah, Kampung Sungai Terap.

Turut berangkat mengiringi baginda, DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan isteri, Datin Seri Shamshida Taharin serta Exco Kerajaan Negeri, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin.

Masjid Al-Hidayah berusia lebih 30 tahun itu menelan belanja RM700,000 dan mampu menampung 700 jemaah, pada satu-satu masa.

Pada 2016, pengurusan masjid mula mengubah suai dan melaksanakan penambahbaikan dengan tambahan beberapa prasarana demi memberi keselesaan kepada jemaah.

Antara pengubahsuaian dilakukan adalah meratakan lantai luar masjid, membina laluan Orang Kelainan Upaya (OKU), tambahan tempat wuduk dan membina penghadang bagi ruang solat muslimah.

Manakala daripada sudut keselesaan dalaman, empat penyaman udara dipasang dalam ruangan masjid.

 


Pengarang :