SELANGOR

Sultan Selangor serah sumbangan raya RM190,000 kepada 380 penerima

OLEH NAZLI IBRAHIM

HULU SELANGOR, 29 MEI: Persiapan menyambut hari raya aidil fitri lebih ceria buat 380 golongan fakir, miskin dan asnaf saudara baru apabila nasib golongan terbabit mendapat perhatian Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Hal ini berikutan baginda berkenan menyampaikan sumbangan sebanyak RM500 kepada setiap penerima dengan membabitkan sejumlah RM190,000.

Majlis penyampaian sumbangan itu diadakan pada Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Kepada Fakir, Miskin dan Saudara Kita serta Perasmian Masjid di Masjid Ar-Rahmah, Kampung Sungai Buaya, Rawang di sini, semalam.

Pada majlis sama, baginda turut berkenan menyampaikan lafaz perasmian dan menyempurnakan upacara perasmian masjid dengan menamakannya sebagai Masjid Ar-Rahmah.

Turut hadir pada majlis itu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Dato’ Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim dan Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan lain- lain.

Majlis itu turut dihadiri lebih 500 masyarakat setempat yang tidak mahu melepaskan peluang bermesra dengan Sultan Sharafuddin.

=EZY=


Pengarang :