AGAMASELANGOR

Sultan Selangor serah sumbangan RM249,000, rasmi masjid

OLEH HAFIZAN TAIB

SERI KEMBANGAN, 30 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 498 penerima di Masjid Taman Taming Jaya, di sini, hari ini.

Sumbangan berjumlah RM249,000 itu diserahkan Baginda kepada 86 fakir, miskin (207) dan saudara baharu (205) dengan masing-masing menerima RM500 setiap seorang dalam majlis berbuka puasa DYMM Sultan Selangor bersama rakyat di masjid berkenaan.

Baginda turut berkenan merasmikan masjid dengan melafazkan titah dan menandatangani plak perasmian.

Masjid dinamakan Masjid Taman Taming Jaya itu melalui proses pembinaan pada 1992 dari sebuah surau hingga diubahsuai menjadi masjid pada 2002 dengan kos bernilai hampir RM5 juta di tapak seluas 1.2 ekar dan tambahan 0.8 ekar di taman berkenaan.

Dalam tempoh penambahbaikan, satu surau sementara dibina untuk penduduk dan apabila ia siap sepenuhnya, majlis penyerahan masjid dilakukan pada 2004.

Menyertai Sultan Selangor, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Shaharuddin Badaruddin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim dan Orang Besar Daerah Hulu Langat, Dato’ Engku Abdul Jalil Abdul Rani.

Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri, Dr Siti Mariah Mahmud, Dato’ Abdul Rashid Asari, Hee Loy Sian dan hadirin lain.

=EZY=


Pengarang :