EKONOMINASIONAL

Tabung Harapan Malaysia kutip RM7.07 juta setakat ini

OLEH NORHAYATI UMOR

PUTRAJAYA, 31 MEI: Tabung Harapan Malaysia (THM) yang dilancarkan semalam sudah mengumpul RM7.07 juta, sehingga jam 3 petang tadi.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pihaknya akan terus mengumumkan jumlah kutipan tabung berkenaan, setiap hari.

Katanya, sumbangan kepada tabung berkenaan juga boleh diberi pengecualian cukai dan penderma diminta menyimpan resit bagi tujuan berkenaan.

Pada masa sama, beliau berkata, sejumlah 4.1 juta penerima akan menerima bayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) peringkat kedua menggantikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) membabitkan RM1.6 bilion, pada 6 Jun ini.

Katanya, pembayaran BSH akan dikreditkan terus ke akaun penerima masing-masing.

“Bagi mereka yang tiada nombor akaun, maka surat kelulusan akan diposkan ke alamat penerima dan seterusnya boleh ditunaikan di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional berhampiran.

“Kerajaan berharap dengan pemberian BSH ini dapat membantu rakyat membeli keperluan dan persiapan bagi menyambut Aidilfitri,” katanya pada sidang media, di sini.


Pengarang :