NASIONAL

Tahniah IGP, anda buka ruang Reformasi Malaysia

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 5 MEI: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyambut baik kenyataan Ketua Polis Negara (IGP) yang mengarahkan anggotanya keluar mengundi secara bebas mengikut parti pilihan masing-masing.

Mohamed Azmin berkata, kenyataan terbuka itu tidak pernah dinyatakan pimpinan tertinggi pihak berkuasa itu, sepanjang tempoh pilihan raya terdahulu.

“Tahniah saya ucapkan kepada Ketua Polis Negara. Kali pertama kenyataan seperti itu dikeluarkan.

“Ini petanda baik kepada kita,” katanya ketika berucap pada Ceramah Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya yang menyaksikan lebih 7,000 warga Ampang hadir di Padang Awam Taman Kosas, malam tadi.

Semalam, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengeluarkan kenyataan secara terbuka bahawa anggota polis berhak mengundi parti pilihan mereka tanpa diberi tekanan untuk memilih parti pemerintah sahaja.

Beliau turut memberi jaminan bahawa undi daripada anggotanya adalah sulit, berdasarkan hak rakyat Malaysia memilih kerajaan baru.

“Kita tidak tentukan parti mana yang mereka perlu undi. Semua undi adalah rahsia dan ini semestinya adalah sesuatu yang kita sentiasa amalkan.

“Mereka (pegawai polis) akan tentukan pilihan mereka, itu hak mereka untuk undi parti yang dipilih,” katanya dipetik Star Online.

Anggota polis mula membuang undi melalui kaedah pengundian pos, 5 Mei.

Dilaporkan, polis mempunyai 111,702 pengundi awal dengan 5,660 pengundi di ibu pejabat polis Bukit Aman dan 106,042 pengundi di negeri masing-masing di seluruh negara.

Sebelum ini, Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN) Tun Dr Mahathir Mohamad menulis surat terbuka kepada panglima tentera dan menyatakan harapan agar pegawai tentera boleh mengundi tanpa sekatan.

=EZY=


Pengarang :