Selangorkini
SELANGOR

Tak usah cerita bandar satelit kalau isu lampu isyarat tak mampu selesaikan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 2 MEI: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras, Datuk Zein Isma Ismail dinasihatkan supaya lebih realistik dalam menawarkan manifesto kepada rakyat kawasan ditandinginya itu.

Calon KEADILAN, Mohd Khairuddin Othman berkata, rakyat juga perlu sedar tawaran mahu mewujudkan bandar satelit di Paya Jaras tidak realistik ekoran BN tidak mampu menyelesaikan isu lampu isyarat.

“Tak usah cerita nak buat bandar satelit sebab dia perintah 50 tahun, wujudkan lampu isyarat di depan Masjid Huda pun belum tentu mampu sedangkan benda yang sangat ringkas.

“Selepas kira-kira sebulan saya menang PRU-13, terus dapat lampu isyarat. Tuan-tuan tahu bagaimana saya dapatkan lampu isyarat itu? Saya tulis surat kepada Dato’ Menteri, kemudian saya dan beberapa orang pergi berjumpa Datuk Fadzilah Yusof, Menteri Kerja Raya di pejabat dia Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ceramah kelompok di Kampung Kubu Gajah, di sini, malam tadi.

Jelasnya, sedangkan BN sepatutnya lebih mudah untuk mendirikan lampu isyarat di jalan terbabit memandangkan jalan itu merupakan jalan di bawah penyelenggaraan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, rakyat di Paya Jaras juga lebih memerlukan penyelesaian isu kesesakan trafik, sekolah agama, isu kos sara hidup dan lain-lain yang membelenggu kehidupan seharian mereka.

“Saya sudah berusaha sehabis baik selama lima tahun sebagai Adun tetapi saya sedar masih ada perkara yang sedang saya usahakan belum terlaksana,” katanya.

=EZY=


Pengarang :