SELANGOR

Task force khas tangani masalah lori hantu Sri Gombak

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 23 MEI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Hilman Idham mengarahkan jawatankuasa khas (task force) ditubuhkan dalam tempoh 24 jam bagi menangani masalah kemasukan lori hantu di penempatan Sri Gombak.

Bercakap kepada SelangorKini, Hilman berkata, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) turut diarah membuat kawalan serta merta melarang kemasukan lori khususnya pada waktu puncak.

“Saya mengambil langkah proaktif dengan meminta Pegawai Daerah memanggil mesyuarat taskforce pertama dalam tempoh 24 jam untuk menyelesaikan masalah ini secara komprehensif.

“Mesyuarat task force pertama bersidang pada 22hb Mei 2018.

“Kita akan mengeluarkan satu pelan tindakan secara bersepadu melibatkan usaha penguatkuasaan dan juga tindakan rampasan tanah di bawah Kanun Tanah Negara,” katanya.

Beliau berkata, penubuhan task force berkenaan turut dianggotai semua agensi terlibat seperti Pejabat Daerah, MPS, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk wakil penduduk.

Hilman mendedahkan, pihaknya turut mengambil maklum berhubung rungutan penduduk setempat seterusnya optmis isu itu dapat diselesaikan pada kadar segera.

“Sebaik sahaja saya menerima mandat sebagai ADN Gombak Setia, saya melakukan kunjungan hormat kepada Dato’ Pegawai Daerah & YDP MPS, pada 15 Mei 2018.

“Isu lori hantu di Sri Gombak ini merupakan antara agenda utama dibincangkan selain daripada beberapa isu lain,” katanya.

Terdahulu, penduduk menuntut maklum balas pihak berkuasa agar isu kemasukan lori hantu di penempatan Sri Gombak Fasa 9 dapat diselesaikan.

Ia susulan berlakunya kemalangan jiwa mengorbankan seorang pengguna jalan raya, akibat kecuaian pemandu lori hantu di kawasan berkenaan.

Sebelum ini, SelangorKini turut mendedahkan rungutan penduduk yang mendakwa kemasukan lori hantu itu juga menimbulkan rasa kurang senang masyarakat tempatan.


Pengarang :