SELANGOR

Tekad angkat bidang pendidikan setaraf antarabangsa

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 MEI: Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Shaharuddin Badaruddin menyifatkan pengalaman 33 tahun dalam bidang pendidikan serta pembabitannya dalam badan bukan kerajaan boleh mengangkat bidang pendidikan negeri itu setaraf antarabangsa.

Katanya, pihaknya turut merancang melakukan beberapa perkara berkaitan aspek pendidikan, selain turut menumpukan kepada sekolah-sekolah Agama dan Fardu Ain (Kafa) serta tahfiz.

“Buat masa ini, saya merancang melakukan beberapa perkara berkaitan aspek pendidikan, selain turut menumpukan kepada sekolah-sekolah Agama dan Fardu Ain (Kafa) serta tahfiz.

“Kita akan melihat secara teliti bagi memastikan tahap pendidikan tersebut setinggi bangsa lain,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah Simpan Rahsia Rasmi Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), di SUK, di sini.

Selain itu, Shaharuddin turut menyifatkan portfolio digalasnya mencabar kerana penggabungan hal ehwal agama Islam dan pendidikan.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak menghalangnya untuk meneruskan tanggungjawab dipikul dan bertekad melakukan sebaiknya.

“Saya percaya pengalaman sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) selama 30 tahun dan juga sebagai Timbalan Naib Canselor di Universiti Selangor (Unisel) sebelum ini membantu memudahkan penugasan.

“Mala, pembabitan saya sebagai sukarelawan serta dakwah juga akan memberi kelebihan dalam memegang portfolio ini,” katanya.

Pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) baru-baru ini, Shaharuddin memenangi kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372.

Beliau menewaskan calon dari Barisan Nasional (BN), Datuk Yusoff M Hanif dengan 29,250 undi.


Pengarang :