SELANGOR

Telefon digodam, unsur sabotaj DUN Bukit Lanjan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BUKIT LANJAN, 8 MEI: Berbaki kurang 24 jam tempoh berkempen tamat, berlaku insiden sabotaj melibatkan Ketua Penyelaras Ejen Pemerhati Tempat Mengundi (PACA) bagi calon Pilihan Raya Umum N37 Bukit Lanjan, Elizabeth Wong.

Ketua PACA DUN berkenaan, Adrian Yeo berkata, nombor telefonnya digunakan sebagai medium penyebaran dakwaan tidak benar, berunsur fitnah dan berbaur ugutan lucah yang disebarkan kepada pengundi DUN di kawasan itu.

“Jika ada usaha untuk menjatuhkan saya, ini bermakna wujud juga usaha untuk memburukkan calon N37, Bukit Lanjan, Elizabeth Wong.

“Saya kira taktik ini dianggap berniat jahat dan mencemarkan budaya politik telus yang seharusnya diamalkan setiap parti bertanding,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, petang ini.

Beliau ditemani Calon Pakatan Harapan N37, Elizabeth Wong.

Dalam penyebaran mesej berkenaan, Adrian menghantar mesej berbaur ugutan yang mengancam pengundi-pengundi berdaftar Bukit Lanjan.

Susulan penyebaran mesej berkenaan, beliau turut menerima maklum balas lebih 30 mesej dan panggilan semula daripada pengundi.

Sementara itu Elizabeth tidak menolak kemungkinan, unsur sabotaj berkenaan dibuat bagi melemahkan kedudukan dan sokongan pengundi terhadap PAKATAN di kawasan itu.

“Adrian menjadi rujukan pengundi untuk mendapatkan sebarang maklumat pada minggu-minggu terakhir tempoh berkempen ini.

“Sabotaj ini merupakan langkah terdesak pihak tertentu yang mensasarkan individu yang dekat dengan calon bertanding,” katanya.

=EZY=


Pengarang :