NASIONAL

Tender balak Kelantan tidak telus – Nik Omar

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 4 MEI: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Nik Omar Nik Abdul Aziz mendakwa pemberian tender balak oleh Kerajaan PAS, di Kelantan tidak telus.

Katanya, sebagai kerajaan yang menggunakan imej Islam, tidak wajar apabila sistem pengurusan tidak senada dengan pegangan ditonjolkan.

“Sepatutnya pengurusan baru diperlukan bagi membentuk kerajaan lebih telus dan efektif serta ia dilihat pada PAKATAN,” katanya ketika ditemui media selepas Program Sarapan Pagi bersama Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, di Kampung Cheras Baru.

Nik Omar yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Kelantan turut menyelar konsep segelintir ahli PAS yang mendakwa keluar parti itu bermaksud keluar daripada Islam.

“Pada saya konsep ini tidak betul dan isu lebih besar perlu kita perjuangkan sekarang ialah negara, bukannya individu.

“Begitu juga dengan hubungan keluarga saya, semuanya baik-baik sahaja. Cuma ada segelintir individu yang suka mewujudkan provokasi sehingga menimbulkan pandangan negatif terhadap saya dan keluarga,” katanya.

Bertanding mewakili Parti Amanah Negara (AMANAH), Nik Omar berkata, salah satu manifestonya ialah memberi 100,000 lot tanah buat keluarga miskin, di Kelantan.

“Buat rakyat Kelantan, mengundilah dengan baik, jika fikir mahu kerajaan lebih baik mentadbir Kelantan, undilah PAKATAN,” katanya.


Pengarang :