SELANGOR

Terus dekati dan peduli rakyat bukan sekadar musim pilihan raya

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 1 MEI: Calon DUN Batu Tiga, Rodziah Ismail meneruskan program ‘Walkabout’ sebagai usaha mendekati masyarakat sekali gus menyelami permasalahan rakyat.

Rodziah berkata, perkara itu diadakan walau bukan dimusim pilihan raya dan rata-rata penduduk Batu Tiga kini lebih mengenali beliau setelah dua penggal diberikan mandat oleh masyarakat di kawasan itu sebagai wakil rakyat.

“Ini adalah cara saya dan saya memang lebih gemar pergi rumah ke rumah bukan sekadar untuk berkempen malah untuk mengetahu masalah mereka antara yang kita telah selesaikan masalah longkang tersumbat, infrastruktur dan sebagainya.

“Selain itu, program turun padang ini juga diadakan untuk menyemak status tempat mereka mengundi supaya mereka tahu salur mana patut mengundi bagi mengurangkan menunggu dan beratur terlalu lama khusus bagi warga emas,” katanya kepada SelangorKini.

Rodziah memulakan program walkabout dengan menyantuni pengundi dari rumah ke rumah bermula di sekitar Seksyen 24 dan Seksyen 18 seawal pagi lagi.

Sementara itu, calon DUN Kota Anggerik, Najwan Halimi turut mengambil inisiatif turun padang bagi mendekati masyarakat di sekitar Taman Bukit Subang.

Beliau memulakan program seawal jam 5.50 pagi ketika menunaikan solat subuh di Surau Al-Ittihadiyah bersama penduduk sekitar Seksyen 9.

Najwan berkata, beliau diiringi penyandangnya, Dr Yaakob Sapari sebagai mentor yang membawa beliau mengenali wakil-wakil penduduk sekitar Kota Anggerik untuk memberikan kerjasama padanya sebagai calon baru di kawasan itu.

“Saya melihat rata-rata masyarakat masih yakin dengan pentadbiran di bawah kerajaan Pakatan Harapan walaupun mereka tidak aktif dalam menyuarakan sokongan.

“Ada juga diantara mereka yang ‘personal’ dengan saya bahawa mereka tetap memilih PAKATAN dan mendoakan kejayaan saya serta yakin bahawa anak muda mampu membawa perubahan baru kepada negara,” katanya.

=EZY=


Pengarang :