SELANGOR

Teruskan tradisi: PKNS edar 12,000 bubur lambuk

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 25 MEI: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) meneruskan tradisi pemberian bubur lambuk istimewa dari Kampung Baru secara percuma sempena Festival Ramadan (FESTIRA 2018).

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datin Paduka Dr Noraida Mohd Yusof berkata, 12,000 bubur lambuk disediakan Koperasi PKNS dan PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC).

Katanya, RM66,000 diperuntukkan PREC untuk menyediakan bubur lambuk kali ini.

“Pengunjung boleh mendapatkannya secara percuma pada hari esok, 28 Mei dan 4 Jun di Kompleks PKNS Shah Alam. Sementara bagi pengunjung Kompleks PKNS Bangi dan SACC Mall pula boleh mendapatkannya pada 31 Mei dan 7 Jun.

“Kesemua edaran bubur lambuk ini akan dibuat bermula jam 4 petang di lokasi ditetapkan. Dalam sehari, 2,000 bekas bubur lambuk akan kita edar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengedarkan bubur lambuk percuma di Bazar Ramadan Kompleks PKNS Shah Alam.

Hadir sama, Pengurus Besar Pehubungan Korporat, Roziah Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif PKNS PREC, Fakru Radzi Ab. Ghani, Pengurus Besar Pembangunan Wilayah Utara, Ir Mohd Muhidin Faharuddin dan Pengerusi Koperasi PKNS, Mohd Rosli Mohd Yusoff.

Noraida berkata, pemberian bubur lambuk percuma itu sebagai tanda penghargaan PKNS kepada masyarakat awam yang menjadikan Kompleks PKNS dan SACC Mall sebagai lokasi pilihan utama mendapatkan keperluan Aidilfitri.

 


Pengarang :