SELANGOR

Tiada kenaikan caj beg plastik

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 28 MEI: Hasrat untuk mengkaji semula caj 20 sen bagi pembelian beg plastik bukan bermaksud kadar itu bakal dinaikkan.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian berkata, ia sebaliknya kajian membabitkan keberkesanan dan penguat kuasaan.

Katanya, hal itu kerana terdapat ramai pihak tertanya ‘kehilangan’ kutipan caj terbabit sebelum ini.

“Caj itu sebelum ini menjadi tanda tanya ke mana hasil kutipannya dan terdapat persoalan adakah ia mencapai matlamat.

“Tidak banyak premis khususnya pasar raya mengikut arahan ini, mungkin kerana tiada penguat kuasaan dan tindakan dilaksanakan.

“Jadi, tidak mungkin caj ini dinaikkan, namun kita mahu keberkesanan mengurangkan penggunaan beg plastik mencapai matlamat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bazar Ramadan Mampan Majlis Perbandaran Klang (MPK), di Lobi Pusat Beli Belah, GM Klang, di sini.

Pada masa sama, Loy Sian berkata, Kerajaan Negeri mensasarkan tempoh lima tahun akan datang dapat mencapai matlamat negeri bebas plastik.

Beliau berkata, pihaknya akan merangka program menyeluruh ke arah merealisasikan hasrat itu.

Terdahulu, Loy Sian mahu Kerajaan Negeri mengkaji semula langkah pengenaan caj 20 sen itu kerana tidak memberi impak positif terhadap Kempen Bebas Plastik dan Polistirena.

Bermula 1 Januari 2017, perniagaan di Selangor tidak dibenarkan menyediakan beg plastik secara percuma dan diarah menghentikan penggunaan bekas makanan serta peralatan polistirena di semua premis, termasuk premis makanan serta pasar malam.

Kerajaan Negeri menggalakkan peniaga untuk mengenakan caj 20 sen bagi melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Susulan kempen itu dilaksanakan, Kerajaan Negeri dimaklumkan sebanyak RM7.199 juta dikutip bagi tempoh sehingga Februari lalu.


Pengarang :