SELANGOR

Tourism Selangor-ECTAA kolaborasi tarik pelancong Eropah

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SUBANG JAYA, 16 MEI: Tourism Selangor menganjurkan Majlis Makan Malam Perangkaian bersama The European Travel Agents and Tour Operators Associations (ECTAA) bagi menarik lebih ramai pelancong Eropah ke Selangor.

Majlis dianjurkan sempena mesyuarat Tahunan ECTAA dengan kerjasama Tourism Malaysia di Surf Beach Sunway Lagoon, baru-baru ini.

Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, majlis itu sebagai landasan pihaknya mengeratkan lagi hubungan dengan memperkenalkan produk serta tawaran pelancongan terkini selain membina rangkaian yang kukuh dengan ejen pelancongan ECTAA.

“Ia bertujuan untuk menarik dan memperhebatkan lagi kehadiran pelancong Eropah ke Selangor.

“Tahun lalu kita menerima lebih 400,000 pelancong dari Eropah iaitu peningkatan 2.02 peratus berbanding 2016,” katanya dalam kenyataan.

Ashikin berkata, program itu akan menyaksikan satu kolaborasi baru dengan ejen pelancongan terbesar di Eropah terutama dari ECTAA.

Majlis turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Noraini Roslan, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab dan Pengarah ECTAA, Pawel Niewiadomski.

Terdahulu, Mirza berkata, Tourism Malaysia menyasarkan 1.5 juta pelancong Eropah akan melawat Malaysia tahun ini, meningkat kira-kira setengah juta pelancong berbanding tahun lalu.


Pengarang :