NASIONAL

TPM seru umat Islam tingkat ibadah sempena Ramadan

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Umat Islam di negara ini diminta merebut peluang meningkatkan amal ibadah dan kebaikan sepanjang Ramadan yang mulia ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kesyukuran harus dipanjatkan ke hadrat Allah kerana dengan rahmatnya diberi kesempatan bertemu dengan Ramadan yang penuh keberkatan.

“Ramadan kali ini hadir selepas gelombang perubahan melanda negara lantas memberi sinar harapan baru buat warganya.

“Rebutlah peluang dikurniakan untuk berlumba membuat kebaikan.

“Lakukanlah amal ibadah penuh istiqamah agar kita dapat menyucikan jiwa lantas mendapatkan keampunan dan pembebasan dari api neraka,” katanya dalam kenyataan.

Presiden KEADILAN itu berkata, semoga di akhir Ramadan nanti umat Islam di negara ini menjadi insan yang lebih beriman lagi bertaqwa.

Ini kerana, katanya, usaha mencari kebaikan dan menegakkan keadilan akan menjadikan negara dan rakyatnya lebih makmur dan sejahtera.

“Saya ucapkan selamat menyambut Ramadan Kareem kepada seluruh umat Islam di Malaysia dan di serata dunia,” katanya.


Pengarang :