Selangorkini
NASIONAL

Tsunami rakyat jadikan teori R.A.H.M.A.N kenyataan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 1 MEI: Gabungan tsunami Melayu pada Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 1999, tsunami Cina dan India pada 2008 dan 2013 bakal mencetuskan satu tsunami rakyat menolak Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 nanti.

Calon Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, tsunami rakyat ini bakal menjadikan teori R.A.H.M.A.N realiti.

“Tuan-tuan yakin dan percayalah kali ini teori R.A.H.M.A.N akan betul-betul berlaku dan kita akan ambil Putrajaya dengan sebaik-baiknya,” katanya.

“Kalau dulu tuan-tuan orang Umno, memang tuan-tuan percaya teori R.A.H.M.A.N apa dia? Umno akan tenggelam, akan ghuyup apabila teori R.A.H.M.A.N itu berlaku,” katanya pada satu program ceramah kelompok di Kampung Kubu Gajah, di sini.

Jelasnya, dalam teori itu, R.A.H.M.A.N mewakili nama-nama Perdana Menteri Malaysia pertama sehingga Perdana Menteri Keenam.

Katanya, teori itu menyebut Perdana Menteri berikutnya bukan lagi daripada Barisan Nasional (BN).

Katanya lagi, Bekas Perdana Menteri Keempat, dalam satu rakaman video beberapa tahun lalu, Tun Dr Mahathir juga pernah menyebut bahawa Umno akan hilang pada tahun 2020.

=EZY=


Pengarang :