NASIONAL

Tuduh PAKATAN lempar fitnah, BN jangan sentap

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 4 MEI: Barisan Nasional (BN) mahupun media arus perdana milik parti itu tidak perlu sentap apabila kepimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) mendedahkan satu persatu kezaliman BN terhadap rakyat.

Calon P99 Ampang, Zuraida Kamaruddin berkata, pemimpin parti itu termasuk pengerusinya, Datuk Seri Najib Razak sering mendakwa PAKATAN menggunakan modal fitnah terhadap BN ketika berkempen, di seluruh negara.

“Begitu juga akhbar Utusan Malaysia yang lebih suka memperbesarkan isu lain berbanding peduli dengan pendedahan fakta yang dilakukan KEADILAN ketika ceramah.

“Sepatutnya BN mahupun media milik mereka tidak perlu sentap dengan pendedahan diberitahu kami, akhbar Utusan Malaysia juga gagal memahami apa yang cuba disampaikan KEADILAN melalui ceramah dihadiri wartawan mereka.

“Apa yang menyedihkan ialah Utusan lebih terarah menyokong kezaliman dan sanggup menggunakan isu kecil untuk diperbesarkan berbanding melaporkan perkara sebenar,” katanya.

Ketua Wanita PAKATAN itu berkata demikian setelah Utusan Malaysia melalui laporannya, pada 2 Mei 2018 mendakwa ceramah politik oleh pemimpin pakatan gabungan KEADILAN terus dipenuhi dengan pelbagai kata-kata kesat.

Melalui laporan itu, Zuraida didakwa kekeringan modal apabila menggelarkan calon BN Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai ‘menteri kepala otak’.

Zuraida berkata, perkataan ‘kepala otak’ itu dikeluarkan oleh orang ramai yang hadir ke ceramahnya yang terletak di Bukit Antarabangsa.

“Ini bermaksud, memang rakyat tidak bersetuju dengan Ahmad Maslan yang mengatakan GST itu membantu rakyat, memang benar penipuan dilakukan pemimpin BN berkenaan GST.

“Mereka kata dengan GST harga turun tetapi sebenarnya tidak, adakah Utusan masih ingin mempertahankan pemimpin ini yang dengan jelas bertindak zalim dan melakukan penipuan besar-besaran terhadap seluruh rakyat Malaysia?.

“Isunya bukan kata-kata kesat yang dihamburkan ke atas pemimpin zalim tetapi lebih utama adalah nasib rakyat yang perlu dibela,” katanya.


Pengarang :