NASIONAL

Tumpu bina negara, tiada PRK masa terdekat

OLEH HAFIZAN TAIB

AMPANG, 16 MEI: KEADILAN tidak merancang mengadakan pilihan raya kecil (PRK) dalam tempoh terdekat selepas pembebasan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ini kerana Pakatan Harapan (PAKATAN) memberi tumpuan bagi membina semula negara selepas mengambilalih pentadbiran Persekutuan daripada Barisan Nasional (BN).

“Bukan itu perancangan kita (mengadakan PRK),” katanya dalam sidang media selepas Majlis Menyambut Pelantikan Timbalan Perdana Menteri di Padang Perbandaran Ampang Jaya, di sini, malam tadi.

Sebaliknya, Dr Wan Azizah berkata, Anwar akan berperanan membantu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam memastikan proses pemulihan negara berjalan lancar.

“Seperti dimaklumkan sebelumnya, kita perlu memberi ruang kepada Perdana Menteri bagi membentuk kerajaan dan menjalankan tanggungjawab mentadbir negara manakala Anwar akan membantu.

“Kita yakin gandingan Dr Mahathir dan Anwar akan berjaya menjadikan negara lebih baik seperti mana dilakukan ketika mereka mentadbir dahulu,” katanya yang diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri itu.

Beliau seterusnya berkata, tumpuannya kini bagi memastikan segala janji terkandung dalam Manifesto PAKATAN dapat ditunaikan dalam tempoh ditetapkan.

“Selepas selesai angkat sumpah jawatan Timbalan Perdana Menteri, seperti mana dinyatakan Dr Mahathir, kita akan menunaikan janji dalam tempoh 100 hari antaranya pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada kadar kosong peratus serta harga minyak distabilkan,” katanya.

=EZY=


Pengarang :