NASIONAL

Tun Dr Mahathir: Mereka yang salah tetap salah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUTRAJAYA, 21 MEI: Individu yang melakukan kesalahan bertentangan dengan undang-undang tetap dianggap bersalah dan perlu diheret ke muka pengadilan.

Namun, kata Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, kesalahan itu perlu dibicarakan mengikut lunas undang-undang negara.

“Kita harus ingat, yang salah masih salah. Sebarang perbuatan salah perlu diuruskan mengikut undang-undang negara.

“Hanya dengan cara itu sahaja dapat dibersihkan pentadbiran negara. Apabila ia menjadi bersih, maka negara akan dikenali, efisien dan lebih maju.

“Ketika itu, akan pulih imej negara kita,” katanya ketika berucap pada pertemuan perdana menteri dan penjawat awam Jabatan Perdana Menteri, di Dataran Perdana Putrajaya, pagi ini.

Tun Dr Mahathir tidak menamakan individu terbabit yang dikaitkan dengan kes salah laku dan penyelewengan itu.

Bagaimanapun, kenyataan itu dipercayai merujuk kepada siasatan dan serbuan pihak berkuasa terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang digulingkan rakyat, pada pilihan raya lalu.

Najib sebelum ini dikaitkan dengan kes salah laku penyelewengan kewangan syarikat milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad.

Kes berkenaan mendapat liputan meluas media berpengaruh seluruh dunia Najib dilapor bakal berdepan pendakwaan membabitkan kes salah laku berkenaan.


Pengarang :