NASIONAL

Tun Hasmah enggan terima hadiah, minta sedekah pada anak yatim

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 24 MEI: Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali meminta orang ramai supaya tidak lagi menghantar hadiah kepada beliau dan juga suaminya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anaknya, Datin Paduka Marina Mahathir berkata, pesanan itu disampaikan ibunya dan meminta supaya ia dipanjangkan kepada orang ramai melalui akaun media sosial miliknya.

“Sejak memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Tun Siti Hasmah dan Tun Mahathir menerima banyak ucapan tahniah dan tidak ketinggalan pelbagai hadiah.

“Namun ibu enggan menerimanya kerana kerajaan baru yang ditadbir Pakatan Harapan (PAKATAN) tidak membenarkan pemimpinnya menerima sebarang bentuk hadiah.

“Tetapi beliau meminta orang ramai berhasrat berbuat demikian supaya menyumbang kepada rumah anak yatim,” katanya melalui akan facebook rasminya, semalam.

Marina berkata, Siti Hasmah berharap supaya orang ramai memahami permintaan berkenaan walaupun Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang tidak lama lagi.

“Lagipun hadiah-hadiah itu akan memakan ruang yang banyak,” katanya.

Dalam masa sama, Marina turut memberitahu kedua ibu-bapanya itu tidak
berpindah ke kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya sebaliknya terus menetap di kediaman sendiri di Seri Kembangan, Selangor.


Pengarang :