NASIONAL

Tun M pengerusikan mesyuarat Kabinet pertama

PUTRAJAYA 23 MEI: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempengerusikan mesyuarat kabinet yang pertama di Perdana Putra di sini, Rabu.

Mesyuarat yang bermula pada jam 9.25 pagi itu dihadiri kesemua 13 menteri yang mengangkat sumpah pada Isnin lepas.

Sebelum mesyuarat kabinet itu bermula, Dr Mahathir menyertai sesi bergambar bersama jemaah menteri, lapor BERNAMA.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Timbalan Ketua Setiausaha Kabinet Tan Sri Mazidah Abdul Majid.

Ini merupakan mesyuarat kabinet pertama setelah Pakatan Harapan (PAKATAN) yang dipimpin Dr Mahathir memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei, lepas.

Dr Mahathir, 92, kembali menerajui negara selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh Malaysia berikutan kemenangan PAKATAN itu, sekali gus menjadi perdana menteri tertua di dunia.

Beliau sebelum ini merupakan perdana menteri Malaysia keempat dan menerajui tampuk pemerintahan negara dari 1981 sehingga 2003.

Menteri-menteri kabinet dilihat memasuki Jabatan Perdana Menteri antara jam 8.45 pagi hingga jam 9.30 pagi.

Antara yang hadir, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali yang memasuki perkarangan bangunan bangunan JPM kira-kira jam 9.00 pagi tadi.
Mohamed Azmin dilihat sempat menurunkan cermin tingkap kenderaan untuk menyapa petugas media yang menunggu di luar pagar JPM.

Pengarang :